Masih berbaki 20 minit sebelum habis office hour. Kerja masih ada yang perlu disiapkan tapi sejak sejam yang lepas, dia hanya mampu merenung kosong skrin komputernya. Fikirannya semakin bercelaru. Entah apa yang bermain di fikirannya, dia sendiri kurang jelas.
Cuma yang dia pasti, ia berkaitan masa silamnya. Ya, mengenai kisah lamanya. Namun dia sendiri tak pasti, adakah semua ini ada maksud yang tersendiri? Atau cuma bisikan syaitan yang tidak pernah kenal erti putus asa untuk terus memporak perandakan hidup umat manusia?
Sejak sejam yang lepas dia asyik mempersoalkan dirinya sendiri, 'kenapa dikenang cerita yang lalu? Kenapa diusik luka yang lama? Mahu berdarah kembali?' Namun apakan daya, soalan itu kekal sebagai soalan yang tidak punya jawapan.
Dia, yang pernah jatuh terduduk tersungkur kerana kisah itu, apa lagi yang dia harapkan sekarang? Masih berharap untuk terus bertahan? Tidak, bukan sekali dia terjatuh malah berkali kali. Berkali kali. Tiap kali terjatuh, dia hanya mampu berdoa agar kekuatan sentiasa ada untuk dirinya bangkit semula, walaupun secebis cuma.
Ramai yang datang memujuk, malah ada yang menawar sinar baru dalam hidupnya. Tapi apakan daya, dia cuma manusia biasa. Lemah. Selepas berkali tersungkur, apa yang engkau harapkan daripadanya? Tidak, bukan salah engkau, bukan salah mereka. Salah dia yang terus takut untuk mencuba sekali lagi. Salah dia yang fobia. Tidak, kau tak salah. Dia yang salah.
Fikirannya terus kosong. Imaginasi liar yang asyik datang menjengah sejak dari tadi lagi kian membuas. Dia sendiri tidak mampu mengawal dirinya. Dan sekali lagi, dia jatuh tersungkur. Sekali lagi dia tewas dengan dirinya sendiri.
No comments:
Post a Comment